;

Permata Hatiku

Saturday, July 25, 2009

Berkongsi Cerita 1

Seringkali terdengar mulut berbicara bahawa setiap musibah yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Aku akur dan terima ketentuan ilahi.Di sini, ingin aku berkongsi suka-duka yang kulalui bersama-sama insan yang senasib diuji ilahi.
Kelahiran Athirah membawa seribu satu rahmat dalam keluarga kami. Anak bongsuku ini dilahirkan dengan sedikit kecacatan di kaki kirinya, talipes. Itulah istilah pertama yang doktor ungkapkan kepadaku tatkala keluar sahaja dia daripada rahimku. Dalam keadaan separa sedar, aku menerimanya dengan redha, apatah lagi doktor juga meyakinkan aku bahawa keadaan kaki anakku boleh dirawat dan berpotensi besar untuk pulih sepenuhnya.Kerisauanku sedikit terubat
sebaik sahaja menatap wajahnya yang comel biarpun dia tidaklah seberat abang-abang dan kakaknya yang cuma 2.7kg. Kasihan Athirah...
Kami ditempatkan di Wad 9 Hospital Kulim sementara menunggu masa untuk dibenarkan pulang ke rumah. Seperti anak-anak yang lain, Athirah aku susukan tetapi dia agak pasif dan banyak tidur. Aku langsung tidak mengesyaki apa-apa kelainan pada Athirah. Setiap kali pertukaran syif jururawat yang bertugas, aku akan terdengar istilah talipes berulang-ulang disebut. Teruk sangatkah Athirah?? Namun naluriku sebagai seorang ibu bertambah bingung apabila seorang stafnurse bertanyakan aku tentang Athirah yang kebiru-biruan seluruh badannya tatkala dimandikan. Manalah aku tahu? Aku bukan doktor, sepatutnya dia yang lebih tahu..Walau bagaimanapun aku abaikan sahaja pertanyaan jururawat yang makin membingungkan aku. Malam seterusnya Athirah menangis. Waktu itu aku belum cukup kuat untuk bangun. Kesan luka pembedahan masih teramat perit kurasakan.Athirah diambil dan disusukan. Nampaknya aku terpaksa berundur kerana mataku sudah mengantuk. Sambungan ceritanya esok sajalah. Lagipun esok aku terpaksa berkursus. Jumpa lagi...

1 comment:

  1. semoga tabah menghadapi hidup ini.Sesungguhnya harta dan anak-anakmu adalah ujian bagi kamu.wassalam.

    ReplyDelete

KENANGAN SYAWAL 2009