;

Permata Hatiku

Tuesday, August 11, 2009

Berkongsi Cerita 2

Bersua kembali setelah beberapa lama menyepi. Maklumlah, aku bukannya seorang yang setia untuk menghadap komputer riba semata. Tugasan lain juga menuntut aku untuk memberikan komitmen yang terbaik apatah lagi tugas seorang ibu berkerjaya membataskan segala-galanya.
Bagaimana harus kuteruskan cerita ini... Hari kedua aku dan Athirah di Hospital Kulim. Kami menyambut Aidiladha di situ (8.12.2008). Semua jururawat sibuk dengan kuih raya.Namun aku baru mencuba dan kugagahkan diri untuk bangun dan turun dari katil. Akhirnya dengan sisa kekuatan yang aku ada, aku berjaya turun dan berjalan ke bilik air walaupun sebenarnya aku memdam kesakitan yang teramat sangat. Kukira semua ibu di situ sependapat denganku, maklumlah semua orang dah tak sabar nak balik ke rumah.Malah kami selalu diingatkan... kalau nak balik cepat,kenalah tunjuk kuat. Siapalah yang nak menghuni lama-lama di situ. Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu tiba juga. Aku dan Athirah dibenarkan pulang setelah 3 hari bermalam di Hospital Kulim.
Athirah dibawa pulang ke rumah ibuku kerana disitulah aku akan menghabiskan tempoh berpantang selama 44 hari.Kepulangan kami dinanti oleh semua ahli keluarga yang tak sabar-sabar menatap wajah Athirah.Suasana ketika itu cukup gembira. Aku bersyukur.. biarpun seminggu dari tarikh itu Athirah ada appointment dengan pakar orthopaedik untuk rawatan susulan kakinya.Kegusaranku tentang kaki Athirah berkurangan tatkala kakak sulungku memberitahu bahawa ada rawatan untuk memulihkan kaki anakku.Athirah kujaga dan kususukan seperti abang dan kakaknya yang lain. Tapi.. malamnya dia menangis dan setiap kali selepas menangis dia akan terdiam dan tertidur.. Keesokan paginya, apabila kakakku yang kupanggil kak chaq menyatakan ada sedikit kelainan dengan Athirah, barulah kubuka cerita tentang teguran jururawat di Hosp. Kulim.Muka,tangan malahan seluruh tubuh anakku akan kebiruan apabila dia menangis.Susupun susah nak minum. Kak Chaq mencadangkan aku membawa Athirah ke hospital,takut-takut jangkitan kuman ataupun masalah jantung.
Apalagi, akupun jadi tak tentu arah. Kak Chaq juga seorang jururawat di NICU di Hosp. Alor Setar.Aku yakin tentang pengetahuannya dalam bidang yang kebetulan pula bahagian bayi dan kanak-kanak.
Pagi (10.12.2008) akhirnya aku mengikut sahaja cadangan Kak Chaq untuk membawa Athirah ke Hosp. Sultanah
Bahiyyah. Sepanjang perjalanan ke sana Athirah asyik tidur walaupun kupaksa dia menyusu.Sehinggalah di Alor Setar, kami terus ke Wad dimana Kak Chaq bertugas.Athirah menangis terus tanpa mahu minum susu yang kusuapkan.Doktor Zaidi datang dan mengambil Athirah untuk diperiksa. Akhirnya dia terpaksa ditahan untuk menerima pemeriksaan lanjut. Bayangkanlah perasaanku ketika itu... air mata usah dikira..
Baru sahaja keluar dari Hosp.Kulim, masuk pula Hosp. Alor Setar. Belum puaspun saudara yang lain bermain dengannya, namun terpaksa pula menghuni di Wad untuk tempoh yang belum pasti...Apapun aku dan suamiku bersyukur yang teramat kerana atas usaha kakakku dan kebetulan-kebetulan yang lain Athirah melalui jalan mudah untuk ditempatkan di situ tanpa menunggu dan terus menunggu.
Dalam keterpaksaan kulepaskan Athirah di situ sementara menanti keputusan pasti apakah keadaan sebenar anakku.Aku yakin bahawa kak chaq tahu bagaimana keadaan Athirah sebenarnya. Tapi mungkin dia tak tergamak untuk berterus terang denganku.Akhirnya dia bersuara. Katanya esok, waktu melawat, doktor pakar nak jumpa kami berdua. Mungkin nak maklumkan keadaan anakku. Itulah yang kujangkakan dan pesan Kak chaq padaku, nanti jangan terlalu emosional.Dari situ sudah kujangkakan mungkin Athirah mengalami masalah yang sukar dan tak mungkin aku dapat menerimanya dengan mudah.Air mataku tak henti mencurah sementara menunggu hari esok yang kurasakan terlalu lambat mendatang.
Akhirnya pada tarikh 11.12.2008, aku,suami dan Kak Chaq melangkah longlai ke Wad NICU seperti yang dijanjikan. Hatiku berdegup kencang sebaik melihat tubuh badan Athirah yang berselirat dengan wayar yang disambungkan ke mesin yang entah apa fungsinya. Aku menangis.Dan aku juga pasti semua ibu akan menangis apabila melihat seorang bayi kecil berkeadaan sebegitu. Namun aku pasrah demi kebaikan Athirah. Ya Alllah! Selamatkanlah anakku..

KENANGAN SYAWAL 2009