;

Permata Hatiku

Tuesday, August 18, 2009

Ramadan Datang Lagi...


Assalamualaikum kepada semua umat Islam di bumi Allah. Bersempena kemunculan Ramadhan pada kali ini ingin kuberkongsi Fadhilat yang telah Allah tentukan buat hamba-hambanya.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa”.

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: “Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu.”

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan.” Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: “Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?” Dijawab oleh Rasulullah SAW: “Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya.”

Sunday, August 16, 2009

Friday, August 14, 2009

Renungan



Keistimewaan Wanita


1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab beliau, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”.

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahim nya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan bagi nya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapus kan dari nya 1000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatat kan bagi nya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahir kan anak, keluar lah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibu nya melahirkan nya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susu nya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anak nya yang sakit, maka Allah memberi nya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barang siapa yang menggembira kan anak perempuan nya, darjat nya seumpama orang yang sentiasa menangis karena takutkan Allah dan orang yang takut kan Allah, akan diharam kan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barang siapa membawa hadiah, (baik makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarga nya, maka pahala nya seperti bersedekah. Hendak lah mendahulu kan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyuka kan anak perempuan seolah-olah dia memerdeka kan anak Nabi
Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suami nya dalam urusan agama, maka Allah memasuk kan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suami nya (10,000 tahun).

10. Wanita yang solehah itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

11. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatan nya serta taat akan suami nya, masuk lah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

12. Aisyah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapa kah yang lebih besar hak nya terhadap wanita? Jawab rasulullah, “Suami nya. “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah, “Ibu nya”.

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibu bapa mu, maka jawab lah panggilan ibu mu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suami nya, semua ikan- ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar bagi nya selama mana dia taat kepada suami nya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suami nya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggung jawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang bagi nya dari api neraka.

Berkongsi Resipi Pilihan (Mee Kuah)

Bahan-bahan:
Kuah Mee
1 kg tulang lembu (rusuk)
1 kg daging lembu, potong kiub besar
300g udang basah, besar
100g udang basah kecil (berwarna putih)
2 - 3 ketul ubi keledek
4 sudu besar cili kering kisar
1-2 labu bawang besar, dikisar
1 inci halia, di ketuk atau dikisar
1 cawan (atau lebih) serbuk kuah kacang (kuah pecal)

Lain-lain bahan:
2 bungkus mee kuning
1 ikat sawi
2 cawan taugeh
Tahu, digoreng dan potong nipis
Kueh cucur udang, potong kecil-kecil
Telur rebus, dibelah dua
Cili hijau jeruk
hirisan daun sup dan daun bawang
bawang goreng
hirisan limau nipis

Cara membuatnya:
Rebus tulang dan daging lembu dengan air yang banyak selama satu jam. Masukkan cili kisar, bawang dan halia dan rebus lagi. Basuh udang besar dan rebus (tak perlu buang kepala, kulit dan ekornya). Setelah udang masak toskan dan airnya di campurkan kedalam rebusan tulang tadi. Ketepikan udang.

Udang kecil di bersihkan (tak perlu buang kepala dan ekor), di rebus dan dikisar, kemudian di campurkan ke dalam kuah daging tadi. Masukkan ubi keledek yang dipotong kecil-kecil dan rebuslah hingga ubi hancur dan daging benar-benar empuk. Masukkan kuah kacang. Tambahkan garam, gula dan serbuk perisa. Tambahkan sedikit sos tomato jika anda suka. Jika anda sukakan kuah mee yang pekat, masukkan beberapa keping biskut cream crackers (hancurkan).

Panaskan air dalam periok hingga mendidih. Masukkan mee, sawi dan taugeh. Celur sebentar selama dua minit. Angkat dan hidangkan dalam mangkuk mee. Masukkan lain-lain bahan dan tuangkan kuah yang masih panas.

Wednesday, August 12, 2009

WAD NICU Hospital Sultanah Bahiyyah


Beginilah keadaan Athirah semasa di Wad NICU di Hosp. Sultanah Bahiyyah.Ketika ini anakku baru sahaja berusia 5 hari.Sebaik tiba di wad anakku ditempatkan, kulihat begitu ramai lagi bayi-bayi yang senasib dengan anakku. Tiba-tiba seorang doktor datang ke arah kami sambil mengambil sebuah fail merah. Doktor berbangsa Cina itu agak kalut. Sebaik dia menjelaskan kepada kami keadaan anakku yang kritikal,aku meraung tanpa mempedulikan keadaan sekeliling . Katanya anakku mengalami masalah jantung di mana injapnya sempit dan tersumbat. Buat masa itu jantung anakku bergantung sepenuhnya kepada ubat yang dipanggil prostine untuk membantu membuka injap tersebut demi kelangsungan hidupnya sementara menunggu untuk dirujuk ke IJN. Entah bila? Katanya lagi, memang sukar untuk mendapatkan tempat di sana. Maklumlah, itulah satu-satunya pusat utama rawatan jantung di Malaysia. Kami perlu menunggu dan mereka akan usahakannya. Memandangkan Athirah yang bergantung sepenuhnya kepada mesin ketika itu, bertambah sukarlah lagi. Anakku perlu bernafas sendiri terlebih dahulu kerana peralatan yang terdapat di IJN amatlah terhad. Walau bagaimanapun, aku masih berharap agar anakku diberi peluang. Siapa yang sanggup menerima kenyataan bahawa anak sekecil itu terpaksa bertaruh nyawa untuk hidup.Biar apapun qada dan qadar Tuhan jelas di depan mata. Aku cuma mampu berserah. Ya Allah! berilah peluang untuk Athirah melihat dunia ini.Sejak hari itu, matanya ditutup. Kelam sudah dunianya...

Tuesday, August 11, 2009

Berkongsi Cerita 2

Bersua kembali setelah beberapa lama menyepi. Maklumlah, aku bukannya seorang yang setia untuk menghadap komputer riba semata. Tugasan lain juga menuntut aku untuk memberikan komitmen yang terbaik apatah lagi tugas seorang ibu berkerjaya membataskan segala-galanya.
Bagaimana harus kuteruskan cerita ini... Hari kedua aku dan Athirah di Hospital Kulim. Kami menyambut Aidiladha di situ (8.12.2008). Semua jururawat sibuk dengan kuih raya.Namun aku baru mencuba dan kugagahkan diri untuk bangun dan turun dari katil. Akhirnya dengan sisa kekuatan yang aku ada, aku berjaya turun dan berjalan ke bilik air walaupun sebenarnya aku memdam kesakitan yang teramat sangat. Kukira semua ibu di situ sependapat denganku, maklumlah semua orang dah tak sabar nak balik ke rumah.Malah kami selalu diingatkan... kalau nak balik cepat,kenalah tunjuk kuat. Siapalah yang nak menghuni lama-lama di situ. Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu tiba juga. Aku dan Athirah dibenarkan pulang setelah 3 hari bermalam di Hospital Kulim.
Athirah dibawa pulang ke rumah ibuku kerana disitulah aku akan menghabiskan tempoh berpantang selama 44 hari.Kepulangan kami dinanti oleh semua ahli keluarga yang tak sabar-sabar menatap wajah Athirah.Suasana ketika itu cukup gembira. Aku bersyukur.. biarpun seminggu dari tarikh itu Athirah ada appointment dengan pakar orthopaedik untuk rawatan susulan kakinya.Kegusaranku tentang kaki Athirah berkurangan tatkala kakak sulungku memberitahu bahawa ada rawatan untuk memulihkan kaki anakku.Athirah kujaga dan kususukan seperti abang dan kakaknya yang lain. Tapi.. malamnya dia menangis dan setiap kali selepas menangis dia akan terdiam dan tertidur.. Keesokan paginya, apabila kakakku yang kupanggil kak chaq menyatakan ada sedikit kelainan dengan Athirah, barulah kubuka cerita tentang teguran jururawat di Hosp. Kulim.Muka,tangan malahan seluruh tubuh anakku akan kebiruan apabila dia menangis.Susupun susah nak minum. Kak Chaq mencadangkan aku membawa Athirah ke hospital,takut-takut jangkitan kuman ataupun masalah jantung.
Apalagi, akupun jadi tak tentu arah. Kak Chaq juga seorang jururawat di NICU di Hosp. Alor Setar.Aku yakin tentang pengetahuannya dalam bidang yang kebetulan pula bahagian bayi dan kanak-kanak.
Pagi (10.12.2008) akhirnya aku mengikut sahaja cadangan Kak Chaq untuk membawa Athirah ke Hosp. Sultanah
Bahiyyah. Sepanjang perjalanan ke sana Athirah asyik tidur walaupun kupaksa dia menyusu.Sehinggalah di Alor Setar, kami terus ke Wad dimana Kak Chaq bertugas.Athirah menangis terus tanpa mahu minum susu yang kusuapkan.Doktor Zaidi datang dan mengambil Athirah untuk diperiksa. Akhirnya dia terpaksa ditahan untuk menerima pemeriksaan lanjut. Bayangkanlah perasaanku ketika itu... air mata usah dikira..
Baru sahaja keluar dari Hosp.Kulim, masuk pula Hosp. Alor Setar. Belum puaspun saudara yang lain bermain dengannya, namun terpaksa pula menghuni di Wad untuk tempoh yang belum pasti...Apapun aku dan suamiku bersyukur yang teramat kerana atas usaha kakakku dan kebetulan-kebetulan yang lain Athirah melalui jalan mudah untuk ditempatkan di situ tanpa menunggu dan terus menunggu.
Dalam keterpaksaan kulepaskan Athirah di situ sementara menanti keputusan pasti apakah keadaan sebenar anakku.Aku yakin bahawa kak chaq tahu bagaimana keadaan Athirah sebenarnya. Tapi mungkin dia tak tergamak untuk berterus terang denganku.Akhirnya dia bersuara. Katanya esok, waktu melawat, doktor pakar nak jumpa kami berdua. Mungkin nak maklumkan keadaan anakku. Itulah yang kujangkakan dan pesan Kak chaq padaku, nanti jangan terlalu emosional.Dari situ sudah kujangkakan mungkin Athirah mengalami masalah yang sukar dan tak mungkin aku dapat menerimanya dengan mudah.Air mataku tak henti mencurah sementara menunggu hari esok yang kurasakan terlalu lambat mendatang.
Akhirnya pada tarikh 11.12.2008, aku,suami dan Kak Chaq melangkah longlai ke Wad NICU seperti yang dijanjikan. Hatiku berdegup kencang sebaik melihat tubuh badan Athirah yang berselirat dengan wayar yang disambungkan ke mesin yang entah apa fungsinya. Aku menangis.Dan aku juga pasti semua ibu akan menangis apabila melihat seorang bayi kecil berkeadaan sebegitu. Namun aku pasrah demi kebaikan Athirah. Ya Alllah! Selamatkanlah anakku..

KENANGAN SYAWAL 2009